Saturday, November 23, 2013

Resepi : Nasi Dagang dan Gulai Ikan Tongkol

Assalamualaikum..
fuhh.. lama tak update blog ni, mana taknya? assignment menggila lagi meroyan berduyun-duyun datang, dengan exam mid sem yang entah bila nak habis pun tak tahu, kerja lapangan lagi.. aduhh!! pengsann!!
tapi syukur alhamdulillah minggu ni takde kerja lapangan, free sikit weekend ni, boleh lah buat kerja rumah sambil tengok tv.. selain dapat masak kan, hehe..
timbulnya idea nak buat nasi dagang ni bila minggu lepas Mama bawa balik nasi dagang dari rumah makcik, ada kenduri.. sedap pulak nasi dagangnya.. jadi, Azim buatlah buat breakfast pagi ni.. kebetulan semua bahan ada kan.. yang gulai ikan tongkol tu, Azim pakai rempah kari ikan biasa je.. kat sini takde jual rempah gulai cap rose tu.. huh, sodap jugak walaupun kari.. buat pekat-pekat plak tu.. pergghhh!!! So, kita feeling pantai timur sekejap pagi ni.. huahua.. mari layankan resepinya.. mudah sahaja..


Bahan-bahannya :
(untuk hidangan 4 orang)

Nasi Dagang-->
2 cawan beras biasa*
1/2 cawan beras pulut*
1 sudu kecil garam kasar*
*bahan ini direndam selama 8 jam atau semalaman.. Azim rendam malam, paginya baru masak
1 cawan santan pekat
1 labu bawang besar, hiris halus
1 sudu makan halba
2 inci halia, hiris halus

Gulai ikan tongkol-->
4 keping isi ikan tongkol
1 labu bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
*bahan kisar halus
2 sudu makan cili kisar
1 paket rempah gulai cap rose (Azim takde, pakai rempah kari biasa je)
1 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
8 biji bendi

Acar mentah-->
1 biji timun, potong kecil
1/2 biji lobak merah, parut kasar
1/2 biji nenas masak, potong kecil
1/2 labu bawang besar, hiris halus
8 sudu makan gula/secukup rasa
1 sudu makan garam/secukup rasa

Cara membuatnya :
1. Nasi Dagang : Beras bercapur pulut yang direndam dikukus selama 25 minit. Kemudian, keluarkan dan gaul dengan santan pekat, bawang, halia, halba dan garam secukup rasa. Kukus lagi sehingga lembut dan gebu, lebih kurang 15 minit. Azim kukus ni pakai api besar.
2. Gulai Ikan Tongkol : Ikan tongkol direbus dengan sedikit asam gelugor sehingga masak dahulu, kemudian toskan.Panaskan minyak dalam 4 sudu besar. tumiskan bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan ikan tongkol dan santan cair. Masak sehingga pekat dan masukkan santan pekat bersama bendi. Perisakan dengan garam secukup rasa dan masak hingga menggelegak. Boleh tutup api.
3. Acar Mentah : Bahan acar digaul rata dan boleh adjust rasanya mengikut citarasa anda. Azim memang tak pakai cuka, memang tak minat masak letak cuka ni. Nak letak pun boleh, letak dalam 2 sudu makan ok jugak.

Selamat Mencuba!!!

Tuesday, November 5, 2013

Resepi : Sup Tulang Panas

Assalamualaikum...
sempat lagi Azim nak update blog sebelum tidur ni. siap renovate kasi kemas, buat header baru, buat watermark official punya.. lega rasanya..
Sebenarnya Azim nervous sikit, dah kenapa? mana tak nervous, adik Azim si Aina Afrina ni nak SPM first paper esok. Dah kecut semacam perut aku yang kecil ni (kecil la sangat~~)
hurmm, selepas kejadian nasi lemak pagi tadi.. Mama cakap "Tengah hari takda makan yer, kenyang dah nasi lemak tu.. petang baru makan" kenyang la sangat.. Mama pun mengeluarkan tulang lembu korban haritu.. buat sup je la.. sonang kan.. malas nak pikir nak gulai lah, kari lah, apa lah...
marilah kita saksikan resepinya...


Bahan-bahannya :

Sup Tulang
3 kg tulang lembu, bersihkan
2 labu bawang besar*
6 ulas bawang putih*
1 1/2 inci halia*
*bahan kisar halus
2 sup bunjut
2 batang kulit kayu manis
6 kuntum bunga lawang
6 kuntum bunga cengkih
4 biji buah pelaga
Air
Garam secukup rasa

Sambal Kicap
1 genggam cili api*
5 ulas bawang putih*
*kisar dengan air secukupnya
Kicap manis secukup rasa
Secubit garam

Cara membuatnya :

1. Sup Tulang : Masukkan kesemua bahan dalam periuk besar dan rebus sehingga empuk. Tambah air jika perlu. Perisakan dengan garam. Tak perlu tumis tau, lemak kat tulang tu dah cukup berkolesterol dah.
2. Sambal Kicap : Masak kesemua bahan atas api sehingga menggelegak. Tujuan dimasak sambal kicap ni supaya tahan lama dan cilinya masak.
3. Sup tulang tersebut boleh dihias dengan daun sup dan bawang goreng, mengikut citarasa anda.

SELAMAT MENCUBA!!!

Resepi : Nasi Lemak Kampung Ayam Goreng Berempah

Assalamualaikum
Salam maal hijrah 1435.. rajin betul Azim update blog pagi-pagi buta ni.. hehe, mana taknya, malam tadi dah niat nak bangun awal sebab nak masak breakfast untuk family.. teringin pulak nak makan nasi lemak ni, dah lama betul tak buat nasi lemak.. jadinya, pukul 6 dah bangun kau.. mesin kelapa bagai, perah santan.. masak sambal.. siap goreng ayam berempah tu yang rajin tiba-tiba tu.. hehe..
resepi nasi lemak ni resepi Azim sendiri yer, tiada kena mengena denga mana-mana resepi blogger lain, kalau ada kebetulan tu.. biarlah.. dah rEsepi nasi lemak, semua lebih kurang sama ja kan..
dah, membebel je kerja aku ni, mari saksikan resepinya


Bahan-bahannya :

Nasi Lemak 
2 cawan beras putih, basuh dan toskan
3 cawan santan (2 pekat + 1 cair)
1 inci halia, dihiris halus
1 biji bawang besar, hiris
2 helai daun pandan, siat dan simpul
Garam secukup rasa

Sambal Tumis
1 labu bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 cawah ikan bilis*
*bahan kisar halus
2 senduk nasi cili kisar
1/2 cawan ikan bilis, goreng sediki garing
1 labu bawang besar, potong
2 keping asam gelugor, basuh

Ayam Goreng Berempah
1 ekor ayam potong 12
1 labu bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
1 sudu kecil jintan manis*
1 sudu kecil jintan putih*
1 sudu kecil ketumbar*
1 sudu kecil serbuk kunyit*
2 sudu makan kicap manis
2 sudu makan cili kisar
2 sudu makan garam

Bahan lain
5 biji telur rebus
Timun

Cara membuatnya :
1. Nasi Lemak : Masukkan kesemua bahan dalam rice cooker dan biar masak hingga gebu.
2. Sambal Tumis : Panaskan minyak kira-kira 4 sudu besar. Masukkan bahan kisar, cili kisar, ikan bilis goreng, bawang besar dan asam gelugor. Tambahkan 1/2 cawan air dan masak hingga pecah minyak. Perisakan dengan garam dan gula secukup rasa anda.
3. Ayam Goreng Berempah : Gaul semua bahan sebati dan perap sekejap, kira-kira 10 minit. Kemudian goreng hingga masak.
4. Cara hidangkannya, ambil secawan nasi, hirisan timun, telur rebus. Tambahkan sambal tumis dan ayam berempah. Makan pana-panas dengan air teh'o hangat.

SELAMAT MENCUBA!!!









Friday, November 1, 2013

Tutorial : Cara lipat acuan tepung pelita

Assalamualaikum..
selamat petang semua.. fuhh, setelah hampir dua minggu tidak bersiaran di blog ni, baru hari ini berkesempatan dapat update blog.. terlalu busy dengan kuliah, assignment dan komitmen lain.. mulai hari ni sampai la ahad depan Azim cuti mid semester, bolehlah kasi rileks otak ni sikit.. berbalik kepada topik kita hari ini, Azim nak la ajar sesetengah orang yang tak tahu buat acuan tepung pelita ni.. dalam tutorial ni, Azim buat guna daun pisang.. daun pandan ada, tapi daunnya kurang lebar pulak, asik terbuka je..

Bahan-bahan yang diperlukan :

Daun pisang yang dilap bersih dan dilayur
Gunting
Kotak mancis
Stapler

1. Potong daun pisang selebar 1 jengkal


2. Acukan kotak mancis pada tengah daun pisang


3. Lipat kedua-dua bahagian tepi daun pada kotak

4. Lipat bahagian hujung daun seperti di atas

5. Lipat hujung daun seperti di atas
6. Stapler dan gunting lebihan daun itu

7. Ulangi langkah yang sama pada sebelah hujung lagi satu, lebar acuan anda bergantung kepada anda sendiri

8. Maka terjadilah acuan tepung pelita anda.

Selamat mencuba!!!

Saturday, October 19, 2013

Resepi : Sambal Daging Garing Cili Api

Assalamualaikum...
mood update mai dah ni.. nasib ada bahan dalam folder, yang kat dapur tu malas nak amik gambar.. menu sendu je, tak kuasa aku... seperti biasa, mama akan tinggalkan daging yang dah siap direbus dalam peti ais dan suruh anak di yang baik ni masak apa-apa jer.. Azim ni pulak terlebih rajin kan.. aku goreng je daging tu, touch up sikit dengan kentang, buat sambal cili api.. gaul rata-rata... pedas dan menyengat gitu.. makan dengan nasi panas dengan betik muda rebus memang sedap... tak mau cakap banyak, mari tengok resepinya..


Bahan-bahannya :

1 kg daging lembu direbus empuk dan dipotong kecil, goreng hingga sedikit garing
4 biji kentang dikupas kulit, potong panjang dan goreng sehingga lembut

1 labu bawang besar*
3 ulas bawang putih*
10 ulas cili merah*
1 genggam cili padi*
*bahan kisar

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak untuk menumis secukupnya
2. Masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak dan perisakan dengan garam dan gula.
3. Masukkan daging goreng dan kentang, gaul rata. Selain itu, boleh juga tambahkan bawang besar potong kasar dan gaul rata.

SELAMAT MENCUBA!!!

Friday, October 18, 2013

Resepi : Kuih Bijan @ Bom

Assalamualaikum...
tiba-tiba mood rajin datang nak update blog.. entah kenapa entah mood tiba-tiba angin semacam.. geram sangat dengan nenek.. semalam check glucose dia guna glumeter tu, tinggi gila gulanya, 19.5
semua gara-gara hari raya katanya.. makan bahulu manis entah berapa banyak, mangga manis paklong bawak.. makan nasi banyak sangat, makan kuih manis-manis.. bila orang kata jangan dia kata 'ha, baik tak payah makan apa-apa'.. tapi Azim tak kesian pun.. sejak dulu lagi, itulah taktik yang dia buat supaya kitorang kesian.. dah kebal dah dengan taktik rayuan sebegitu.. bila kita nasihat sikit jangan makan manis sangat, dia pegi compare dengan jiran sebelah rumah lah, orang itulah, inilah.. malas nak layan, tutup telinga je.. nak makan karang panggil orang jugak...

ok, berbalik kepada resepi kita, Azim buat kuih ni sebab ada saudara datang haritu, dia singgah kejap.. ingatkan singgah lama, rupa-rupanya singgah seminit dua nak hantar daging korban.. buat penat kau terkocoh-kocoh menguli tepung pulut tu dengan jerang air nak buat teh'o.. siap panaskan minyak bagai.. sekali dah balik.. hurmm, dah alang-alang bancuh tu, aku goreng je la... tapi kuih Azim ni senget sikit la (sikit ke? senget benget aku tengok).. hehe.. mood melayang la katakan...


Bahan-bahan :

2 cawan tepung pulut
2 sudu makan tepung gandum
1 sudu kecil garam
Air secukupnya untuk menguli
Biji bijan

Inti kelapa , refer resipi koci di SINI

Cara membuatnya :

1. Uli tepung pulut, tepung gandum, garam dengan air sedikit demi sedikit sehingga membentuk doh lembut.
2. Ambil sedikit doh sebesar bola pingpong dan uli leper, masukkan inti secukupnya dan uli bulat.
3. Golek-golekkan atas biji bijan dan goreng sehingga kuning keemasan.

SELAMAT MENCUBA!!!

Tuesday, October 8, 2013

Resepi : Ayam Masak Kicap Cili Api Sedap

Assalamualaikum..
entri malam ini sekali lagi, ada request pulak dari teman facebook Shah Mazhar.. nak ayam masak kicap katanya.. nasib ada bahannya.. tu yang nak terus update tu, dah alang-alang kepalang menghadap laptop ni kan.. kita update je la.. resepi ini merupakan dari idea Azim sendiri.. Mama punya pun kalah dengan ayam masak kicap Azim ni, ayah suka sangat sampai bertambah nasi, dikutpnya cili api ketuk kasar tu makan dengan nasi.. sedap dan pedas katanya.. mari kita jenguk resepinya..


Bahan-bahannya :

1 ekor ayam dipotong 12, bersih dan toskan

1 labu bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
*bahan kisar
1 batang kulit kayu manis*
2 kuntum bunga lawang*
3 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
*rempah 4 sekawan
2 senduk nasi cili kisar
1/2 senduk nasi cili api kisar
15-20 batang cili api, diketuk kasar
1 labu bawang besar, potong kasar
1/2 batang lobak merah, potong kecil
1 cawan air asam jawa
1 sudu makan sos tiram
Kicap manis/masin secukupnya

Cara membuatnya :

1. Panaskan kuali dengan 5 camca besar minyak masak dan masukkan bahan kisar, rempah empat sekawan dan tumis sehingga wangi dan agak kekuning-kuningan.
2. Masukkan cili kisar, cili api kisar, cili api ketuk dan ayam. Tambahkan secawan air dan gaul rata. Kecutkan ayam sehingga air kering.
3. Masukkan lobak merah, air asam jawa, bawang besar potong, sos tiram dan kicap secukupnya. Tambah sedikit air dan renih ayam dengan api perlahan sehingga kuah anda pekat. Tidak perlu menambah garam kerana kicap sudah masin.
4. Sedia dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA!!!



Resepi : Kuih Ketayap Ala Diva

Assalamualaikum..
memang kalau tak kena sound, takkan diupdate blog ni.. terserlah kerajinan di situ, hehe.. kesahnya, Azim sangatlah happy time buat uih ni sebab bancuhannya tak melekat dekat kuali.. ye la, kita takde non-stick pan.. orang kampung la katakan, pakai kuali lombong je.. pon boleh.. sebenarnya kuih ni senang je buatnya, tapi kesabaran amat diperlukan dalam pembikinan kuih ini.. kalau gopoh gelojoh, alamat koyak rabak la kuihnya tu.. sebenarnya, kuih ni Azim buat sama dengan kuey tiaw goreng special yang resepiya akan menyusul kemudian nanti.. mari saksikan -->


Bahan-bahannya : (dapat dalam 20 biji kuih)

1 1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air, dikisar dengan 3 helai daun pandan dan tapis
1 biji telur
1 sudu kecil garam
Sedikit pewarna hijau

untuk intinya, boleh rujuk resepi kuih koci di SINI

Cara membuatnya :

1. Bancuh semua bahan di atas. Azim blender je, kemudian tapis.
2. Panaskan kuali anda dengan sedikit minyak, apinya kecil. Azim menggunakan teknik sapuan minyak dengan menggunakan kain lap bersih.
3. Masukkan satu senduk kecil bancuhan dan layang-layangkan kuali anda supaya bancuhan rata dan membentuk bulatan.
4. Biarkan sehingga bahagian tepi bancuhan mula naik dan boleh diangkat.
5. Letakkan inti secukupnya dan gulung.
6. Sedia untuk dimakan, hehe.

SELAMAT MENCUBA!!!


Sunday, September 22, 2013

Resepi : Nasi Goreng Kampung Sambal Paru

Assalamualaikum readers.. 
kembali lagi Azim dengan posting baru.. kali ni, Azim mungkin akan update blog hujung minggu sahaja sebab hari biasa busy dengan kelas..
apa-apapun, Azim mesti akan update walaupun menu sendu gitu.. asalkan ada bahan nak pamer kat blog kan, tak payah nak masak grand2 pun,, make it fast, fresh and simple bak kata Donna Hay..
actually, resepi ini merupakan resepi yang dah tersimpan agak lama (2 minggu) dalam folder Azim.. actually, banyak lagi resepinya.. tapi tak tahu nak update mana satu.. huhu..
menu ni kira menu rajin tau, kalau malas.. side dishnya telur mata je la, ni kira rajin la punya pasal terjadi la kejadian sambal paru tu...


Bahan-bahannya :

NASI GORENG KAMPUNG==> 

4 cawan nasi sejuk, dilerai-leraikan
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
Sejemput ikan bilis*
*bahan tumbuk, guna lesung batu je
1 1/2 senduk nasi cili api kisar, tak nak pedas kurangkan ler
4 keping dada ayam, potong kecil-kecil
1 cekak kangkung, dipotong pendek, basuh, rendam
1 biji telur
Garam secukup rasa

SAMBAL PARU==>

1 kg paru lembu direbus hingga empuk, potong kecil dan goreng hingga garing
(goreng paru tu digaul dengan garam kunyit macam goreng ayam, kalau tak nak garing pun boleh)
8 ulas cili merah*
1 genggam cili api*
1/2 biji bawang besar*
*bahan kisar, jangan kisar halus, kisar kasar
1/2 biji bawang besar, potong
Garam dan gula

Cara membuatnya :

1. NASI GORENG KAMPUNG==> Panaskan kuali anda dengan minyak yang mencukupi untuk menumis bahan tumbuk. Masukkan bahan tumbuk dan tumis hingga wangi, kemudian masukkan ayam dan cili api kisar. Masak sehingga ayam empuk dan air ayam kering. Masukkan kangkung dan gaul rata. Pecahkan sebiji telur dan kacau rata. Masukkan nasi dan kaup balik sehingga rata. Perisakan dengan garam dan masak sehingga nasi kering. Tutup api.
2. SAMBAL PARU==> Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga garing dan terbit minyak. Masukkan bawang, garam dan gula secukup rasa. Gaul rata paru goreng tadi dan tutup api. Sedia dihidangkan.


Saturday, September 14, 2013

Resepi : Gulai Pisang Muda Limau Purut

Assalamualaikum...
memang rajin betul la Azim nak update blog kan, hari ni busy pun tak jugak.. tapi entah kenapa vitamin M overdose pulak.. biasalah, hujung minggu dipenuhi dengan aktiviti rehat dan santai bersama keluarga a.k.a TIDUR.. huahua... disini Azim nak kongsikan satu resepi yang sebenarnya dah lama masak masa bulan Ramadhan yang lalu, cuma di buat pekasam sebab overdose vitamin kan.. banyak lagi resepi yang tersimpan dalam gobok folder lappy ni, tapi kemalasan menaip tu menjadi batasan... ok, kali ini Azim mengkongsikan resepi gulai pisang muda, Azim memnag suka sangat pisang muda ni... buat pedas-pedas memang kick la... boleh dikatakan juga ini resepi tradisi orang kerinchi... aroma daun limau purut memang menambah selera.. makan dengan nasi putih, ikan goreng dengan sambal belacan pun sedap...


Bahan-bahannya :

1 sisir pisang lidi/emas/lemak manis/kapas muda, Azim guna pisang lidi
3 cawan santan perahan kedua
2 cawan pati santan
1 jemput ikan bilis, tumbuk kasar
1 inci kunyit hidup, tumbuk halus
1 senduk nasi cili api kisar, nak pedas letak lebih
1 keping asam gelugor
4 helai daun limau purut
2 batang serai dititik
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Pisang muda dibuang kulit, dibersihkan dan direndam dalam air asam jawa.
2. Dalam kuali, masukkan ikan bilis, kunyit hidup, cili api asam gelugor, serai, daun limau purut dan santai perahan kedua. Masak dan kacau sentiasa supaya jangan pecah minyak. Masak sehingga pekat.
3. Basuh pisang muda tadi dan masukkan ke dalam kuah pekat tadi dan tambah pati santan.
4. Perisakan dengan garam dan tutup api bila dah menggelegak.


Thursday, September 12, 2013

Resepi : Kek Pisang Kampung

Assalamualaikum...
Lama juga Azim tak update blog.. biasalah, busy dengan minggu pertama kembali ke universiti ni kan la katakan.. sibuk menguruskan diri dan segala kursus yang nak di daftarkan.. lagipun Azim agak penat sikit sebab semester ni Azim tak duduk kolej, ulang alik rumah je.. nasib tak jauh dari Hulu Langat ke UKM ni.. paling lama pun mahu dekat 45 minit, kalau tak sesak jalannya.. adalah dalam 30 minit dah sampai... ok, yang bestnya semester ini ialah Azim takde kelas hari jumaat!! yahoo..!!! boleh Azim tidur lama sikit...


Okay, berbalik kepada topik kita... Azim buat kek pisang ni dah lama dah, cuma baru nak masukkan je..
frankly speaking, this is the best traditional cake i had ever made!!! it tastes awesome! amik kau, speaking english... resepi asal kek ini adalah dari makcik kantin Azim, tetapi telah Azim ubah suai mengikut cita rasa dan ilmu baking yang Azim ada selama ini... mari kita kongsikan resepinya... 


Bahan-bahannya :

4 biji telur gred B, suhu bilik
1 1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh esen pisang
2 cawan tepung gandum*
1 sudu teh soda bikarbonat*
1/2 sudu teh baking powder*
*bahan ayak
3/4 cawan pisang manis/raja/berangan/montel lenyek
1 cawan minyak masak

Cara membuatnya :

1. Panasakna oven ke suhu 180 darjah celcius. Telur dan gula dipukul sehingga kembang gebu keputihan.
2. Masukkan esen vanilla dan esen pisang.
3. Dengan kelajuan perlahan, masukkan bahan ayak dan pukul rata.
4. Kemudian, masukkan pisang lenyek dan gaul rata.
5. Akhir sekali, masukkan minyak masak dan adun sebati.
6. Masukkan bancuhan ke dalam acuan yang disapu minyak/mentega dan bakar ke dalam oven sehingga masak.



Sunday, September 1, 2013

Resepi : Bihun Bakso

Assalamualaikum..
selamat malam semua...sedang refresh diri mengupdate segala yang perlu diupdate kat internet ni.. antivirus la, email la, blog la.. hish, kerja mengalahkan pak menteri.. huhu... lagi seminggu je nak masuk balik ke alam universiti ni.. tak sabar rasanya, habis naik tembam badan ni duduk rumah saja, masak-makan-tidur,, itu je la kerjanya... kisahnya, teringin benar nak makan bakso sebab haritu pergi pasar malam nampak makcik indon tu jual bakso.. orang bukan main ramai beratur nak beli bakso dia.. sekali pergi la usha nak beli.. nampak dia copot mee dengan bahan-bahan lain tu pakai tangan.. pastu lap kan apron dia.. ergghh... baik aku buat sendiri la.. jadinya, Azim pun ke pasar raya nak cari 'pentol' (meatball untuk bakso tu), tapi takde la pulak.. ternampak pulak daging kisar cap ramly tu.. hurmm, baik buat sendiri je.. berbekal dengan panduan resepi meatball dari channel Asian Food Channel yang pernah Azim tonton dulu (tak ingat cerita apa) dan panduan Mama.. maka kejadiannya terjadi la.. hehe..


Bahan-bahannya :

1 bungkus bihun, dicelur dengan air panas dan ditoskan
1 cekak daun sup, hiris halus
1 cekak daun bawang, hiris halus
Bawang goreng

Bebola daging =>
800 g daging lembu kisar ramly
1 biji bawang besar*
10 ulas bawang putih* (Azim suka bawang putih banyak, kalau nak kurang boleh saja)
*bahan tumbuk lumat
2 sudu makan lada putih kisar
1 sudu makan lada hitam kisar
2 biji putih telur
2 sudu makan tepung ubi
Garam secukup rasa

Kuah bakso =>
2 biji bawang besar*
6 ulas bawang putih*
1 inci halia*
*bahan kisar halus
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
200 g daging lembu kisar (buat rencahnya), nak pakai tulang pon boleh, pakai daging tetel pon boleh
1 batang lobak merah, dibelah dua dan dipotong kecil
3 batang saderi, potong kecil
2 sudu besar lada putih kisar
2 sudu besar lada hitam kisar
1 sup bunjut
5 sudu makan kicap manis
10 ulas cili api, tumbuk kasar
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Sambal kicap =>
1 genggam cili api
Kicap manis secukupnya (kalau nak pekat, sikit kicapnya)
1 ulas bawang putih
3-4 biji jus limau kasturi

Cara membuatnya :

1. Masak kuah bakso : Panaskan minyak secukupnya dalam periuk. Masukkan bahan kisar, kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, bunga cengkih, cili api, sup bunjut dan daging rencahnya. Bila dah wangi, masukkan air secukupnya dan kisap manis. Masukkan juga lada hitam dan putih. Biar hingga menggelegak. Bila hampir menggelegak, masukkan lobak merah dan batang saderi.
2. Bebola daging : Campur kesemua bahan dan gaul sehingga rata sebati. Untuk mengelakkan tangan melekat, sapu tapak tangan dengan minyak sambil membulat-bulatkan bebola. Bebola yang dibulatkan terus dimasukkan dalam kuah bakso. Bebola sudah masak sekiranya ia terapung. Perisakan kuah dengan garam secukup rasa. Biar menggelegak selama 5 minit dan boleh tutup api.
3 Sambal kicap : Kisar semua bahan dan masak atas api sehingga menggelegak, tutup api.
Bolehlah menghidangkan bakso anda, dihias dengan daun sup, daun bawang dan bawang goreng,

SELAMAT MENCUBA!!!

Friday, August 30, 2013

Resepi : Gulai Labu Dengan Pucuk Ubi Keriting

Assalamualaikum..
pagi jumaat yang indah dan agak panas jugak, memang nak meluangkan mengupdate blog sebab tak mahu blog terbengkalai macam dulu.. hehe
sebenarnya, banyak resepi yang tersimpan dalam folder, cuma vitamin M tu yang menyebabkan tertunda sikit, lagipun, kerja rumah yang tak pernah nak siap ni pun sibuk mengganggu tugasan berblogging ni..
actually, Azim menggulai labu ni masa Mama demam sebab low blood pressure, jadinya.. masak la jawabnya.. huhu.. kejadiannya bermula bila Azim menyelongkar peti sejuk dan terlihat buah labu yang tinggal 3/4 biji.. jadinya terus kupotong dan rebus sambil pergi kutip pucuk ubi keriting kat belakang rumah..


Bahan-bahannya :

3/4 biji buah labu sederhana besar, dipotong kecil dan direbus hingga hampir empuk
1 cekak daun pucuk ubi keriting, buang tangkainya
1 senduk nasi cili api kisar
Sejemput ikan bilis, tumbuk kasar
1 helai daun kunyit, disiat kasar
Serbuk kunyit secukup kuning
Santan secukupnya
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Masukkan labu yang hampir empuk ke dalam kuali bersama cili api, ikan bilis, daun kunyit, serbuk kunyit dan sedikit santan. Masak sehingga pekat dan menggelegak dan masukkan pucuk ubi keriting. Masukkan santan hingga tenggelam dan masak sehingga daun lembut. Perisakan dengan garam secukup rasa

Wednesday, August 28, 2013

Resepi : Mee Rebus Langat

Assalamualaikum..
syukur Alhamdulillah, dapat jumpa lagi kita.. baru dapat update blog sebab line internet dah ok dah.. sebenarnya,satu insiden cemas baru berlaku tadi.. Azim tengah masak balik sambal cili api untuk ikan goreng sebab sambal tu termasin (puasa sunat, mana nak rasa).. jadinya, ubah suai la balik.. masukkan dalam kuali, tambah cili lagi, tambah asam dan sedikit gula.. kemudian dari dapur, Azim kecilkan api sebab nak pergi bahagian tengah rumah nak padamkan kipas.. sekali terdengar bunyi macam orang mesin rumput kat dapur, tengok sambal tadi, apinya dah padam.. sekali bau gas kuat gila! gas bocor!!! Azim terus lari pergi depan bawak adik keluar rumah (Mama takde rumah hantar adik lagi sorang pergi tuisyen, Ayah keluar pergi jumpa kawan)...  lari pergi rumah jiran dengan tak berselipar minta tolong dengan jiran.. sangat panik time tu!! jiran pun lari masuk rumah tolong.. rupa-rupanya, paip gas tu tercabut dari tungku masak tu.. jiran Azim tu pun padamkan gas dan cabut terus, bau gas menusuk hidung, buka pintu dan kipas pastu biarkan dulu.. memang berderau darah sangat time tu, menggigil sampai sekarang! rasa macam nak demam.. tengah menaip ni pun menggigil lagi.. kus semangat!! terima kasih banyak kat jiran.. tu la gunanya berjiran..




Ok, dah settle kes gas bocor tu, mari kita sambung cerita mee rebus... sebenarnya, mee rebus ni Azim buat last week masa atok sedara and family dari Rembau nak datang.. kitorang memang tengah golek-golek tengok tv, pastu ayah telefon diorang nak datang.. automatik keluar dari mulut nak buat mee rebus dengan segera Azim menyenaraikan segala yang perlu dan mama merempit pergi kedai smabil Azim dan adik-adik menyediakan bahan-bahannya... maka tersedialah mee rebus style langat, nak style muar tak mampu..


Bahan-bahannya :

2 bungkus mee kuning, dicelur dan toskan

==> Kuah
1 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
1 inci halia*
1 genggam udang kering*
*bahan kisar
2 senduk besar cili kering kisar
1/2 senduk besar cili api kisar
8 biji kentang rebus dan kisar halus
1/2 kg daging lembu, direbus hingga empuk dan airnya jangan dibuang, dagingnya dicarik halus
Garam dan gula secukup rasa

==> Bahan hiasan
5 biji telur rebus
3 biji tauhu goreng potong kecil
Seikat daun sup, hiris halus
Seikat daun bawang, hiris halus
5 ulas cili merah, hiris nipis
2 pokok sawi hijau, celur
Segenggam tauge, dicelur
Beberapa biji limau kasturi
Bawang goreng secukupnya

Cara membuatnya :

1. Dalam periuk yang besar, masukkan 1 senduk minyak masak dan panaskan. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga wangi, kemudian masukkan cili kering dan cili api berserta air daging dan daging yang dicarik-carik tadi. Masukkan air secukupnya dan masak hingga menggelegak. Apabila sudah menggelegak, masukkan kentang kisar dan boleh adjust rasanya. Kalau nak pekat lagi, masukkan bancuhan tepung gandum/jagung dengan sedikit air ke dalam kuah.
2. Apabila kuah masak, bolehlah dihidangkan. Selamat menjamu selera.

SELAMAT MENCUBA!!!

Friday, August 23, 2013

Resepi : Nasi Goreng Kunyit

Assalamualaikum..
selamat pagi semua, semoga sihat hendknya di pagi yang baik ini.. sejuk betul pergi merempit hantar adik pergi sekolah tadi.. menusuk ke tulang.. sampai kebas la tangan bawa motor tu.. hehe, seperti kebiasaan orang-orang lain, pagi-pagi sejuk macam ni mesti lapo perut kan.. hehe.. jadinya, nasi sejuk malam tadi ada banyak la jugak.. boleh la dibikin nasi goreng pagi-pagi ni.. tapi entah mengapa mood nasi goreng bergolak pulak (tangan dah lama tak menggoreng nasi tu yang jadi camtu tu).. tapi sodap jugak jadinya, minum pulak dengan teh'o panas.. hehe.. mari kita jengah resepinya...


Bahan-bahannya :

3 cawan nasi sejuk , leraikan dahulu
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1/2 inci halia*
*bahan tumbuk
Sejemput ikan bilis, digoreng garing
2 keping dada ayam, dipotong kecil
5 tangkai kacang panjang, potong pendek-pendek
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji telur
1 sudu kecil cili kering kisar
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi. Masukkan ayam, kacang panjang dan serbuk kunyit. Masak sehingga ayam kecut dan cukup masak.
2. Masukkan nasi dan kaup balik sehingga kesemua bahangian rata. Perisakan dengan garam dan boleh diangkat.
3. Untuk buat telur tu, pukul telur dengan cili dan perisakan dengan garam. Masak telur dadar seperti biasa. Bila dah masak, potong panjang-panjang. Sedia dihidangkan.

SELAMAT MENCUBA!!!

Wednesday, August 21, 2013

Resepi : Asam Pedas Ikan Kembong

Assalamualaikum..
asam pedas lagi!! gila asam pedas betul.. huhu.. sedap gila.. itulah yang diucapkan oleh adik perempuan aku yang nombor 2 tu.. pantang nampak asam pedas, mesti bertambah nasi punya.. tak kira la asam pedas apa pun.. semua dia balun.. yum2.. Azim pun apa lagi, join la menemani dan memenuhi kuota geng asam pedas itu.. actually, mama demam sebab low blood pressure atau tekanan darah rendah, so Azim la meneruskan duty memasak sementara belum masuk semester 3 ni... tanpa melegahkan masa dan berleter panjang lagi.. mari kita jenguk resepinya...


Bahan-bahannya :

6 ekor ikan kembung, dibersihkan
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
*bahan ditumbuk halus, pakai lesung batu lagi best
1 1/2 senduk besar cili kering kisar
1 1/2 cawan air asam jawa
15-20 helai daun kesum
8 batang bendi, dibelah dua menyerong
4 biji terung bulat, dibelah empat
2 biji tomato dibelah empat
air secukupnya
garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak untuk tumisan dan masukkan bahan tumbuk.
2. Masukkan cili kisar, air asam jawa, daun kesum dan air secukupnya.
3. Apabila sudah menggelegak dan pekat, masukkan ikan dan biar seketika.
4. Masukkan terung, tomato dan bendi dan masak sehingga kesemuanya masak. Jangan lupa perisakan garam secukupnya.

SELAMAT MENCUBA!!!!

Resepi : Megi Kari Cincai

Assalamualaikum..
selamat hari raya.. raya lagi ke? dah rasa macam hari biasa je dah sekarang ni.. huhu..
tengah blogwalking kelmarin, terpandang megi Che Mat Gebu , alamak ai.. dah lama tak melantak megi ni..
pegi ler selongkar dapur tu punya nak cari megi.. nasib baik ada.. sebungkus pulak tu.. memang dan la.. huhu..
so proses memasak dimulakan la dengan segera.. Azim pakai apa yang ada je kat dapur tu.. sayur pon pakai carrot je.. stok lain tak de.. jadilah kan..


Resepi asal : www.tiffinbiru.com
Diolah oleh : dapurdivameletop.blogspot.com

Bahan-bahannya :

1 bungkus megi kari, asingkan perencahnya
1/2 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
8 tangkai cili api*
*bahan tumbuk
1 sudu makan lada kisar
1 keping dada ayam dipotong kecil
1/2 batang lobak merah, dipotong kecil
1 batang serai, dititik
1 helai daun limau purut
1/2 biji bawang besar, dihiris
Garam, jika perlu

Cara membuatnya :

1. Panaskan kuali dan tumis bahan tumbuk, serai dan daun limau purut hingga wangi.
2. Masukkan perencah kari megi, lobak merah dan isi ayam. Tuangkan sedikit air dan masak sehingga ayam masak.
3. Apabila sudah masak, masukkan mee megi dan hirisan bawang besar kemudian masak sehingga mee lembut. Tambah air jika hendak berkuah. Apabila sudah masak, Boleh dihidangkan dengan hirisan daun bawang dan cili merah.

SELAMAT MENCUBA!!!

Tuesday, August 20, 2013

Resepi : Asam Pedas Ikan Tenggiri

Assalamualaikum.. selamat malam semua.. huhu.. cukup lama Azim tak kongsi resepi dengan semua orang.. busy betul sepanjang bulan puasa dan seminggu dua hari raya ni, asik masak je kerjanya.. kalau masak sikit takpe la jugak, ni masak untuk berpuluh-puluh orang.. tercabut tulang dibuatnya.. last2 bulan puasa tu sibuk dengan cookies dan kuih untuk jualan di bazaar ramadhan.. memang nak menangis kepenatan dibuatnya..
tapi harus diatasi kesemua kepenatan itu supaya blog ni tak terbengkalai.. kesian korang nak baca resepi baru... huahua.. disini Azim kongsikan resepi asam pedas yang popular kat johor dan melaka tu, tapi ini simple je.. tak pakai belacan, tetapi masih divas gitu.. mari kongsikan resepinya


Bahan-bahannya :

1 ekor ikan tenggiri dipotong sederhana, kepalanya dibelah dua
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
*bahan ditumbuk halus, pakai lesung batu lagi best
1 1/2 senduk besar cili kering kisar
1 1/2 cawan air asam jawa
15-20 helai daun kesum
8 batang bendi, dibelah dua menyerong
4 biji terung bulat, dibelah empat
2 biji tomato dibelah empat
air secukupnya
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak untuk tumisan dan masukkan bahan tumbuk.
2. Masukkan cili kisar, air asam jawa, daun kesum dan air secukupnya.
3. Apabila sudah menggelegak dan pekat, masukkan ikan dan biar seketika.
4. Masukkan terung, tomato dan bendi dan masak sehingga kesemuanya masak. Jangan lupa perisakan garam secukupnya.

SELAMAT MENCUBA!!!!

Friday, July 19, 2013

Resipi : Sambal Sotong Gula Merah

Assalamualaikum..
Apa khabar semua pembaca blog DDM, moga sihat hendaknya..
Hari ini, Azim nak kongsikan resepi yang menjadi kegemaran Azim iaitu sotong, tetapi kali ini Azim menggunakan sotong kembang.. sambal sotong ni memang best dimakan dengan nasi lemak mahupun lontong..
jom study resepinya!!



Bahan-bahannya :

2 ekor sotong kembang sederhana besar, direbus sehingga empuk dan dipotong ikut suka
*1/2 biji bawang besar
*2 ulas bawang putih
*1/4 inci halia
*dikisar halus
4 sudu besar cili kering kisar
1/2 biji bawang besar potong
1 sudu makan gula merah
1 batang serai dititik
1 keping asam gelugor
Sedikit garam

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar, serai dan cili kering sehingga pecah minyak.
2. Masukkan sotong, asam gelugor, bawang potong dan gula merah. Perisakan dengan garam.
3. Masak sehingga menggelegak dan boleh tutup api.


Resepi : Apam Goreng Meletop Seribu

Assalamualaikum..
Mama dan Azim tertanya-tanya apa la nak dibuat untuk side dish buka puasa kelmarin .. Adik dengan Ayah tu karang malam nanti mesti nak something untuk makan..
jadinya, Azim terpandang la mauripan kat dalam almari tu.. hurmmm, Azim amik terus bancuh buat apam goreng, kebetulan kelapa parut pun ada.. sambal tumis pun kebetulan ada, memang kombo la!
mari tengok resepinya..


Bahan-bahannya :

2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1 cawan kelapa parut muda
2 cawan air
1 paket yis mauripan

Cara membuatnya :

1. Satukan tepung dan kelapa. Gaul rata.
2. Bancuh yis dengan air dan gula sehingga larut kemudian masukkan dalam bancuhan tepung dan kelapa. Bancuh rata.
3. Perap bancuhan selama 1 jam. Bancuhan hendaklah ditutup dengan kain lembap.
4. Apabila sudah kembang, bolehlah digoreng dengan sedikit minyak sahaja. Masukkan sesenduk kecil dan tutup dengan tutup periuk nasi, api kecil sahaja. Balik-balikkan dan bila dah garing, bolehlah diangkat.
Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah bersama sambal tumis.




Wednesday, July 17, 2013

Resepi : Hati dan Pedal Ayam Masak Kicap Pedas

Assalamualaikum semua pembaca blog DDM..
kisahnya, dua minggu sebelum puasa.. kami sekeluarga ada buat kenduri sikit nak menyambut puasa.. yang jadi tunggak masaknya Azim dengan Mama je.. bayangkan, ada 5 menu dan 2 orang je masak untuk kenduri dan Azim pulak kena buat kuih koci sampai 100 lebih untuk kenduri tu, memang keteramatan keletihan..
Jadinya, kami masak ayam la masa kenduri tu dalam 10 ekor.. pedal dan hatinya tidak dicampur.. Mama pun simpan dalam freezer..
Kalau Azim beli ayam.. Azim suruh orang tu buang semua organ, sebab Azim tak makan..
jadinya, masa nak masak untuk berbuka puasa... Mama keluarkan semua hati dan pedal ayam tu buat masak kicap,.. maka berlakulah kejadian organ-organ itu dimasak kicap..


Bahan-bahannya :

10 keping hati ayam
10 keing pedal ayam
Serbuk kunyit
Sedikit garam
*kedua-dua organ ini direbus terlebih dahulu sehingga lembut dan dilumur garam kunyit lalu digoreng sedang-sedang saja
*1 biji bawang besar
*4 ulas bawang putih
*1/2 inci halia
*10 ulas cili api
*bahan ini ditumbuk , cili api ditumbuk kasar sahaja
6 sudu besar kicap masin
1 sudu makan sos tiram
2 senduk nasi cili kering kisar
1 biji bawang besar dipotong
2 cawan air asam jawa

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumbuk, bawang besar potong serta organ-organ tadi.
2. Masukkan cili kering, kicap masin dan air asam jawa.
3. Biarkan menggelegak dan pekat. Boleh tutup api.


Resepi : Gulai Jengkol Pucuk Ubi Simpul

Assalamualaikum..
Selamat berpuasa kepada semua pembaca blog DDM... Apa khabar semuanya? semoga sihat .. Alhamdulillah.. Post kali ini, Azim nak kongsi menu jengkol gitu, apa itu jengkol.. kepada sesiapa yang tak tau, jengkol tu jering.. fuhh, sedap gila jering.. yang bestnya, jering ni tak berbau bila makan sebab Azim rebus dulu.. bila dah masak, baunya hilang... masak jering ni berduet pulak dengan pucuk ubi, pergghh!! memang super kombo la!!


Bahan-bahannya :

10 ulas jering dibelah dua, direbus hingga empuk dan tumbuk dengan lesung batu
1 cekak pucuk ubi, disimpul dan direbus
3 sudu besar cili api kisar
Sejemput ikan bilis ditumbuk kasar
Sedikit serbuk kunyit
2 1/2 cawan santan perahan kedua
1 cawan pati santan
2 batang serai dititik
2 keping asam gelugor
Garam

Cara membuatnya :

1. Satukan cili api, ikan bilis, serai, asam gelugor dan sedikit serbuk kunyit. Masukkan 2 cawan santan perahan kedua, masak sehingga agak pekat lalu masukkan jering dan pucuk ubi.
2. Masukkan setengah cawan santan perahan kedua dan biar menggelegak.
3. Kemudian, masukkan pati santan dan perisakan dengan garam. Bila dah menggelegak, biarkan 2-3 minit dan tutup api. Boleh dihidangkan dengan nasi.


Resepi : Ikan Siakap 3 Rasa Yang Tak Berapa Nak Rasa

Assalamualaikum..
Alhamdulillah, selepas sehari, sehari lagi kita selesai berpuasa.. dah berapa hari dah puasa.. Azim pun tak ingat, itu semua tak penting.. Yang penting puasa dan amalan wajib mahupun sunat di bulan Ramadhan ni jangan dilupa.. Insyaallah..
Di sini Azim nak kongsikan resepi ikan siakap tiga rasa, tapi Azim rasa macam lebih kepada sweet sour je.. maklumlah, tak dapat nak rasa kepedasannya.. moh le kite~~



Bahan-bahannya :

2 ekor ikan siakap sederhana besar, perap dengan limau kasturi dan bersihkan, toskan
Sedikit garam
Serbuk kunyit
*ikan dilumur garam kunyit dan goreng hingga garing

*1 biji bawang besar
*3 ulas bawang putih
*1/2 inci halia
*1 batang serai
*8 ulas cili api
*bahan ditumbuk lumat dengan lesung batu, cili api dan serai tu jangan hancur sangat
1 batang serai potong pendek dan ketuk kasar
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu makan sos cili
1 sudu makan sos tiram
1 batang carrot potong pendek
4 batang pucuk jagung, belah dua menyerong
1 kuntum bunga kobis, potong kecil
1/2 biji nanas potong kiub
1 biji tomato potong kiub
2 helai daun limau purut
2 sudu makan jus limau kasturi
2 cawan air asam jawa cair
1 sudu makan tepung gandum dibancuh dengan sedikit air (untuk memekatkan kuah)
Garam dan gula

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk.
2. Masukkan cili kering, serai ketuk, sos cili, sos tiram, jus limau dan daun limau purut.
3. Masukkan kesemua sayuran dan air asam jawa.
4. Bila dah menggelegak , perisakan dengan garam gula mengikut cita rasa anda.
5. Masukkan bancuhan tepung gandum dan biarkan menggelegak sekejap. Boleh tutup api dan curah atas ikan.



Tuesday, July 16, 2013

Resepi : Puteri Mandi Resepi Nenek

Assalamualaikum..
inilah kuih yang berasakan pulut yang Azim cakap hari itu, Azim teringin beno nak merasa puteri mandi ni.. lagipun nenek dah lama tak makan puteri mandi, last buat pun entah bila tah.. nenek kata ni resepi sejak zaman moyang Azim lagi, wah berkurun resepi ni.. kelas jah~
jadinya, ku bikin la semangkuk kecil je, malas nak buat banyak-banyak sebab tak laku.. sekali bila buka puasa , adalah 4 ulas Azim makan, selebihnya family makan.. tapi yang penting, Azim puas hati.. Alhamdulillah!!!



Bahan-bahannya :

2 cawan tepung pulut
3 sudu makan tepung gandum
1/4 sudu kecil air kapur
1 sudu kecil garam
Pewarna pilihan anda
1 1/2 cawan air
1 cawan gula
1 cawan kelapa parut muda

Cara membuatnya :

1. Bahagikan tepung pulut kepada 3 bahagian, Campurkan satu sudu makan tepung gandum kepada setiap bahagian.
2. Campur juga 1/4 sudu kecil air kapur kepada setiap bahagian.
3. Titikkan pewarna dan uli dengan sedikit air sehingga membentuk doh lembut.
4. Ambil sedikit doh, bulat-bulatkan dan tekan di tengah. Buat sehingga habis.
5. Satukan gula, air dan kepala dalam kuali.
6. Masak guna api sederhana dan masukkan kesemua puteri-puteri tadi ke dalam kuali itu.
7. Masak sehingga puteri masak dan sedikit kering. Sedia dihidangkan.




Resepi : Lempeng Ikan Bilis Adikku

Assalamualaikum..
Asik masak je la kerja Azim ni kan, siang malam tak berhenti nak bagi makan kat orang-orang di rumah ni..
Adik Azim kelaparan pulak bila dah malam-malam lepas buka tu, dapur dah tak de benda nak masak.. (malas sebenarnya).. jadinya, malam kelmarin Azim buat la lempeng memandangkan boleh dicicah dengan kuah masak lemak cili api ayam dengan kemumu.. cicah dengan sambal sardin pun boleh.. tertangguh nak update sebenarnya, internet terlalu 'laju' la katakan..


Bahan-bahannya :

1 cawan tepung gandum
*1 biji bawang besar
*3 ulas bawang putih
*Sejemput ikan bilis
*ditumbuk kasar je dengan lesung batu
4 cawan air
1 biji telur
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Semua bahan dibancuh sekata.
2. Panaskan kuali anda, Azim guna kuali biasa tu je dan sapukan sedikit minyak.
3. Masukkan 1 senduk kecil bancuhan dan goyangkan supaya rata dan lebar seperti yang anda mahu.
4. Masak sehingga garing. Boleh dimakan begitu saja ataupun dicicah bersama kuah.


Monday, July 15, 2013

Resepi : Gulai Ayam Dengan Keladi Kemumu

Assalamualaikum..
dah berapa hari kita berpuasa dah kan.. Azim tak kira pun dah berapa hari, malas nak kira, nanti rasa lama..
Insyaallah, Azim dengan Mama akan start projek kuih bahulu dan cookies untuk raya ni.. Mama nak start balik kuih bahulu dia yang dah lama tinggal dekat 10 tahun, masih lancar lagi atau sudah berkarat? kita tunggu.. baiklah, Azim sebenarnya nak kongsi menu yang dimasak masa berbuka semalam, ini adalah signature dish orang negeri sembilan.. masak lemak cili api ayam @ gulai ayam.. cuma Mama suruh tambahkan keladi kemumu buat sayurnya, selalu orang letak kentang... yang buat Azim gembira, sejak first day Azim masak untuk buka puasa ni, semua rasanya perfect, cukup masin dan cukup pedas, Azim tak rasa tau, hehe..


Bahan-bahannya :

1 ekor ayam potong 12, bersih dan toskan
2 sudu besar cili api kisar , siapa nak pedas boleh adjust
1/2 biji bawang besar dipotong halus
1 ulas bawang putih dipotong halus
1 cm halia dipotong halus (halia sikit je, buat rasa.. jangan letak banyak sangat)
1 keping asam gelugor
2 cawan santan perahan kedua
1 cawan pati santan
5 batang keladi kemumu, bersihkan, potong dan ramas dengan garam kasar
2 batang serai ditiitk
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :

1. Masukkan ayam dalam kuali bersama cili api, bawang-bawang dan halia.
2. Masukkan juga serbuk kunyit secukup kuning, keladi kemumu dan serai yang dititik.
3. Masukkan 1 cawan santan perahan kedua dan masak sehingga ayam kecut, teruskan tambah santan perahan kedua sehingga ayam benar-benar kecut.
4. Masukkan pati santan dan perisakan dengan garam. Menggelegak santan tu boleh la tutup api.


Sunday, July 14, 2013

Resepi : Ayam Masam Manis Mudah

Assalamualaikum...
Bulan Ramadhan ni semuanya nak ekspress.. malas nak menu grand kan.. kalau grand sangat karang, nak terawih pun tak larat.. Jadinya, kita masak mudah-mudah tapi menusuk qalbu..
Ayam masam manis ni adalah masakan favourite adik Azim... Just letak ayam dengan carrot jer.. kalau letak bunga kobis, pucuk jagung, nanas bukannya makan.. dibuangnya adalah, geram Azim..
menu yang cukup sesuai untuk sesiapa yang nak masak cepat, boleh juga diganti dengan udang dan sotong... ubahsuai mengikut kreativiti anda.. hehe



Bahan-bahannya :

4 keping dada ayam, potong kecil
*1 biji bawang besar
*2 ulas bawang putih
*1/4 inci halia tua
*5 ulas cili api
*bahan ditumbuk lumat
2 sudu makan cili kering kisar
2 sudu makan sos cili
Lobak merah, potong ikut suka
1 helai daun limau purut dicarik-carik
1/2 biji bawang besar dipotong kasar
2 sudu kecil gula
Garam secukup rasa

Cara membuatnya :
1. Panaskan kuali dengan sedikit minyak.
2. Tumis bahan tumbuk hingga wangi, masukkan cili kering, sos cili dan isi ayam.
3. Masukkan 1/2 cawan air, lobak merah, daun limau purut dan garam gula secukup rasa.
4. Reneh dengan api sederhana.
5. Apabila air hampir kering, masukkan bawang potong.
6. Bila bawang hampir layu, tutup api dan hidangkan